comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan anggota lepas lima das tembakan ikut SOP – KP Perak

Yusri Hassan Basri (Ketua Polis Perak)

IPOH: Tindakan anggota polis melepaskan lima das tembakan amaran terhadap sebuah kereta dinaiki enam individu yang melanggar sekatan jalan di Sungai Lebey, Gerik, awal pagi semalam disifatkan sesuatu yang wajar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Susulan itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Polis Kontinjen Perak mempertahankan tindakan anggota itu, pada masa sama menjalankan siasatan mengenai perkara itu.

“Budak (anggota berkenaan) buat kerja bagus, (jadi) saya pertahankan dan bagi semangat. Bagaimanapun kita akan siasat juga kes itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusri ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu menyatakan anggota itu mungkin berdepan tindakan pihak atasan disebabkan tembakan yang dilepaskan itu termasuk disiasat mengikut peruntukan Akta Senjata 1960.

Semalam, media melaporkan lima das tembakan amaran dilepaskan polis terhadap kereta Proton Perdana yang melanggar dengan memecut laju sekatan jalan itu yang dinaiki enam individu termasuk tiga wanita.

Dalam kejadian 4 pagi, kereta itu dilihat dalam keadaan mencurigakan dan memecut laju ketika melalui sekatan polis, justeru membuatkan peronda Unit Kereta Peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik membuat Op Kesan di kawasan sekitar sebelum menemui kenderaan itu di sebuah stesen minyak di Kuala Rui, Gerik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini