comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan negara luar guna laluan perairan Malaysia tanpa izin, dibantah dan ditegur – PM

 

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Negara yang mengambil kesempatan untuk menggunakan perairan Malaysia sebagai laluan pertahanan tanpa izin akan terus ditegur dan tindakan itu akan dibantah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu sempadan dihadapi Malaysia ketika ini tidak hanya menjurus terhadap pertikaian dengan China semata-mata.

“Malaysia punyai isu dengan semua negara negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia, Singapura dan Brunei, sebab itu kita kurang setuju bila permasalahan pertelingkahan sempadan ini hanya dirujuk dengan China, padahal kita mempunyai masalah dengan negara lain.

“Ini tidak menjejaskan hubungan diplomatik, perdagangan dengan jiran-jiran kita, pendirian yang sama juga oleh negara jiran lain.

“Kita akan terus menegur dan membantah sekiranya perairan kita itu digunakan sebagai laluan pertahanan tanpa izin Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar mengulangi pendekatan Malaysia dalam berdepan isu sempadan adalah melalui perundingan dan dialog.

Ia termasuk dalam urusan cari gali minyak oleh PETRONAS di Kasawari, apabila Perdana Menteri memaklumkan, Malaysia tetap mempertahankan pendirian untuk meneruskan projek gas di kawasan tersebut meskipun menjadi isu berbangkit kepada China.

Di peringkat ASEAN, konsensus dicapai bahawa sebarang isu sempadan yang berbangkit akan diselesai mengikut kerangka konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini