comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan PDRM tuduh dua pegawai kanan di Mahkamah amat disanjung – Azam Baki 

Oleh: Fareez Azman 

KUALA LUMPUR: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menuduh dua pegawai kanan polis di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dakwaan menerima suapan berhubung kes pembelian senjata oleh warga Israel, satu tindakan amat disanjung jelas Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ujarnya, kes berkenaan tidak akan diambil oleh SPRM, sebaliknya hanya akan dikendalikan PDRM.

“Yang itu saya nak maklumkan itu kes disiasat PDRM, tindakan itu amat disanjung dan mereka telah dituduh di Mahkamah.

“Jadi SPRM tidak akan ambil tindakan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Prapelancaran Projek Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Intergriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM-ITBM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Semalam, dua pegawai kanan polis masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan didakwa atas tuduhan menerima rasuah RM1.25 juta untuk menutup kes jenayah ahli perniagaan berkaitan pembelian senjata api oleh warga Israel.

Bagaimanapun kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK Bukit Aman, Deputi Superintendan Suhairon Abdullah, 42, didakwa menerima suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, sebagai dorongan membantu menutup siasatan kes jenayah lelaki berkenaan.

Khiam Kong juga berdepan tuduhan bersetuju dan menerima suapan RM250,000 daripada individu itu bagi menutup siasatan kes komersial.

Kesalahan didakwa dilakukan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, pada 8, 18 dan 19 April lalu, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).

Ia dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 yang membawa kepada pemenjaraan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika disabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini