NILAI: “Tidak benar bahawa JPJ tidak tegas atau bersikap tolak ansur terhadap pemandu lori dan treler, tindakan penguatkuasaan tegas sentiasa diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan jalan raya”
Demikian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menolak tohmahan sesetangah pihak terhadap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikatakan tidak bertindak tegas terhadap pemandu lori dan treler yang melakukan kesalahan hingga sering menyebabkan kemalangan.
“Malah, ada pihak yang membuat aduan bahawa kita mengambil tindakan yang terlalu ketat termasuk penyitaan, pembatalan lesen, lucut hak dan sebagainya, tapi itu adalah penguatkuasaan yang perlu kita jalankan supaya ia memberi mesej kepada semua pihak terutama pengusaha mematuhi peraturan jalan raya.
“Jadi, JPJ sememangnya bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang jalan raya sedia ada, namun perkara ini bukan mudah untuk diselesaikan.
“Kita juga tahu kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan yang sering berlaku membabitkan kenderaan berat atau lori,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Kerjaya@Pengangkutan 2023 di AEON Mall Nilai, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban, berkata memang akan ada reaksi daripada pelbagai pihak apabila berlaku sesuatu kemalangan termasuk mendakwa penguat kuasa tidak bertindak tegas.
“(Dakwaan) itu tidak betul, undang-undang kita yang sedia ada cukup tegas,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang merancang untuk mengambil pendekatan secara menyeluruh untuk pastikan ada keseimbangan daripada segi keperluan industri dan keselamatan jalan raya.
Menurutnya, perkara itu sedang direncanakan dan perbincangan lanjut akan dilakukan dalam usaha mengatasi masalah berkenaan dengan lebih menyeluruh serta komprehensif.
“Namun, pada masa sama tindakan penguatkuasaan akan berterusan, JPJ tidak pernah berhenti daripada segi penguatkuasaan dan saya tidak pernah minta mereka berhenti untuk jalankan penguatkuasaan.
“Apapun, saya akan berbincang dengan JPJ untuk melihat bagaimana kita boleh buat penguatkuasaan yang lebih efektif lagi,” katanya.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Nahas maut babit 10 kenderaan, pemandu lori ditahan
- Nahas Putrajaya: Dua maut adalah pekerja Pos Malaysia, Mahkamah Ampang
- Nahas Putrajaya: Pemandu lori direman empat hari
- Nahas Putrajaya : Firasat adik ternyata betul selepas 20 kali tengok video
- Nahas Putrajaya: APAD beri surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali treler
- Nahas Putrajaya: Laporan lengkap diserah kepada APAD, Isnin ini