comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan proaktif lemah, platform sosial hanya tunggu aduan – Fahmi

Oleh Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Platform aplikasi serta media sosial digesa mengambil tindakan serta-merta apabila mengenal pasti terdapat aktiviti membabitkan jenayah dipaparkan di dalam rangkaian mereka.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kebanyakan platform pada masa kini disifatkan terlalu lemah dan hanya menunggu aduan semata-mata.

Ujarnya, sebanyak 21 perjumpaan telah dilakukan bersama platform berkenaan bagi membincangkan usaha itu, namun tiada langkah proaktif yang dilihat dapat membanteras jenayah di media sosial.

“Mereka sentiasa mengatakan ada cara (mengatasi), tapi tidak pernah kita lihat ada cara yang benar-benar dapat mengekang masalah jenayah penipuan sebagai contoh.

“Inilah antara sebab kita berhasrat mengenakan lesen kepada platform-platform ini, kita lihat mereka sentiasa menantikan aduan, padahal sekiranya penipuan itu kita sudah tahu trendnya dan caranya, seharusnya platform ini mengambil ikhtiar yang lebih menyeluruh menggunakan kecerdasan buatan (AI) sebagai contoh untuk kenal pasti semua akaun yang terlibat dan dan membasmi semua.

“Bila kita kenakan lesen, maka kita boleh mengeluarkan arahan-arahan yang mana sekiranya mereka tidak patuh, akan ada tindakan ke atas mereka termasuklah dikenakan denda atau kompaun, dan juga tindakan lain yang sedang dikenalpasti menerusi kod tatalaku yang sedang dibina bersama pihak platform,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Hari-Hari Bola Piala MADANI Lembah Pantai 2024 di Padang Universiti Malaya, hari ini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari sehingga esok ini menyaksikan perlawanan antara 100 pasukan bola berentap untuk kategori bawah 12 tahun dan bawah 10 tahun.

Julung kali diadakan, karnival bermatlamat memupuk minat kanak-kanak terhadap sukan bola sepak, selain mempamerkan bakat  untuk ke peringkat yang lebih tinggi termasuk mewakili skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Semalam Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan aplikasi Telegram dikenal pasti sebagai medium paling banyak digunakan dalam penipuan pelaburan melibatkan 1,346 kes dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini