comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan segera harus jadi keutamaan – pakar

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, melakukan tinjauan dan pemeriksaan bagi mengesan lori yang membawa lebih muatan. – Foto: Alexander Nanta Linggi/ Facebook

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: Seruan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada pengguna jalan raya yang diminta melaporkan mana-mana pemandu lori yang membawa muatan berlebihan menerusi aplikasi MYJalan merupakan satu idea yang baik.

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Rozmi Ismail berkata, seharusnya sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi memastikan setiap aduan diselesaikan secepat mungkin.

“Bagi saya, ia merupakan satu idea yang baik. Cuma, ia sebenarnya tidak banyak membantu.”

“Sebab kita dah lihat pun sebelum ini, terpampang di belakang kebanyakan lori, peringatan yang menyuruh seseorang itu untuk membuat laporan jika ada pemandu yang tidak beretika. Jadi sebenannya perkara tersebut telah pun ada.”

Foto: NSTP

“Persoalannya, adakah perkara itu berkesan? Kerana bagi saya, ia tidak berkesan pun. Jadi jika perkara ini juga lebih kurang sama dengan yang sistem kita telah ada sebelum ini, kita harus lihat setakat mana aduan itu diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Katanya, walaupun kaedah baharu telah diperkenalkan, dia berharap agar hukuman yang akan dikenakan setimpal kepada setiap pesalah.

“Jadi yang paling penting ialah result. Kita kena ambil tindakan terhadap syarikat-syarikat dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.”

“Jika kesalahan itu berat, kita boleh terus banned sahaja dan tarik lesen mereka.”

“Namun, elemen intergriti juga perlu ada dalam hal ini.”

Terdahulu Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meminta pengguna jalan raya melaporkan mana-mana pemandu lori yang membawa muatan berlebihan menerusi aplikasi MYJalan.

Katanya, ia bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil segera.

24 Ogos lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) melancarkan pusat sehenti khususnya untuk menerima segala aduan awam terutama melibatkan kerosakan jalan bersempena kempen My Jalan.

Kata Menterinya, program khas itu berorientasikan tindakan dan bukan sekadar cakap kosong tanpa ada susulan dengan melibatkan semua pihak dalam kalangan pemain industri, agensi kerajaan dan swasta serta rakyat dalam usaha penjagaan prasarana jalan.

Loading...
Terkini