comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan tegas jika jual kurma Israel – KPDN

Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati menjual dan memasarkan produk kurma dari Israel ke negara ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“KPDN akan terus membuat pemantauan di pasaran berhubung isu yang dibangkitkan.

“KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mempunyai maklumat berhubung tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan untuk mengelirukan pengguna”, tegasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid  yang ingin mengetahui apakah tindakan kerajaan yang telah diambil susulan pembongkaran terdapatnya kurma dari Israel dibawa masuk ke Malaysia .

Mengulas lanjut, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Manakala, syarikat boleh didenda sehingga RM250,000.

Dalam pada itu, KPDN turut menasihati pengguna supaya lebih berhati-hati dan jika mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan boleh mengemukakan aduan bersama butiran serta maklumat yang lengkap melalui platform rasmi KPDN.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan boleh mengemukakan aduan tersebut bersama butiran dan maklumat yang lengkap dan tepat melalui platform KPDN”, jelasnya.

Sebelum ini, tular di media sosial bahawa terdapat kurma dari Israel dijual di negara ini sempena Ramadan, dengan pelbagai pihak mengingatkan agar umat Islam tidak membelinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini