comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pengusaha pengangkutan – CASSA

Presiden Persatuan Pengguna Subang Dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Seri Jacob George

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) dinasihatkan mengenakan tindakan tegas terhadap syarikat yang mengambil kesempatan menaikkan harga tambang pengangkutan ketika musim perayaan.

Namun demikian, Presiden Persatuan Pengguna Subang Dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Seri Jacob George berkata, pihak berkuasa perlu terlebih dahulu menjalankan siasatan holistik terhadap pengadu dan syarikat terbabit sebelum sebarang tindakan diambil.

“Jika ada mana-mana bukti yang ada salah gunakan dan ada kenaikan tertentu mereka (pihak berkuasa) perlu ambil tindakan.

“Satu tindakan yang kita telah nasihatkan MOT untuk ambil ialah senarai hitamkan syarikat tersebut selepas siasatan terperinci atau memberi amaran dengan denda,” katanya kepada Buletin TV3.

Katanya, isu ini sudah sering berlaku acap kali tiba musim perayaan dan ekosistem negatif ini perlu segera ditangani agar rakyat tidak menjadi mangsa keadaan.

Oleh itu tegas beliau, MOT perlu mengeluarkan satu prosedur operasi standard dan amaran kepada syarikat pengusaha pengangkutan sebelum sesuatu musim perayaan tiba.

Sebelum ini, sepasang suami isteri dilaporkan terpaksa membayar lebih RM800 untuk perjalanan dua hala dari Gopeng, Perak ke Johor Bahru.

Difahamkan, pengguna terbabit dikenakan bayaran antara 270 peratus hingga 344 peratus berbanding harga biasa RM70 untuk setiap penumpang bagi satu hala.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini