comscore
Tumpuan :
Nasional

Tindakan terbaik kerajaan naik taraf wad kelas 3 – FOMCA

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan dalam menyegerakan penyediaan kemudahan yang perlu di wad kelas tiga, Hospital Kuala Lumpur(HKL), demi keselesaan pesakit, merupakan langkah terbaik.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata tindakan menaik taraf itu perlu memandangkan kualiti prasarana di wad kelas tiga masih di tahap rendah.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah

“Kualiti prasarana di wad kelas 3 masih sangat rendah. Memang satu tindakan terbaik jika kerajaan boleh menaik taraf prasarana di institusi kesihatan awam,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Katanya, prasarana seperti katil, tandas, peralatan hospital, kebersihan dan juga kawalan serangga amat penting untuk dinaik taraf agar ia dapat membantu pesakit untuk mendapatkan rawatan dengan lebih selesa.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu untuk menaiktaraf peralatan elektrik dan elektronik yang digunakan seperti inkubator dan peralatan pernafasan, selain memastikan kakitangan kesihatan awam mencukupi.

Dalam pada itu, rata-rata orang awam yang ditemui berpandangan wad yang menempatkan golongan B40 itu sudah tiba masanya dinaik taraf.

Muhammad Ariffuddin Anuar, 25 tahun berpandangan langkah kerajaan itu mampu memberikan ruang kepada golongan kurang berkemampuan untuk menarik nafas lega.

“Contohnya macam B40 kan, orang tua apa semua tu kan mereka susah nak pergi, tidak ada duit untuk ke fasiliti perubatan swasta.

“Jadi kira saya sokonglah, kerana ianya memberikan nafas lega buat mereka yang bergantung kepada kerajaan,” katanya.

Nur Syahirah Fakhrullah, 30 tahun pula berpendapat penambahbaikan itu bukan sahaja memberikan keselesaan kepada pesakit namun ia turut akan meringankan beban petugas kesihatan.

“Semoga memang penambahbaikan itu lebih elok dan lebih baiklah, sebab sekarang yang kita nampak pun, pekerja-pekerja kesihatan itu sendiri sudah macam penat sebab dia orang tak ramai.

“Jadi kalau penambahbaikan dari segi infrastruktur sahaja tak boleh jugak, kena ada staf-staf yang terbaik juga untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini