KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, melakukan tinjauan mengejut tanpa protokol di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara, dipuji.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, semua isu di institusi pendidikan MARA itu berjaya dibongkar tanpa temu janji dirancang, sekali gus mengesahkan tanggapan orang ramai terhadap MRSM yang dipertanggungjawabkan di bawah Asyraf Wajdi.
“Semua ini dapat dibongkar kerana terjahan tanpa temu janji sebegini. Jika Pengerusi MARA melalui protokol sebagaimana membuat temu janji, memberitahu akan melakukan lawatan, sudah pasti segala kekurangan ini akan cuba disembunyikan dan tidak ada cela yang terkeluar daripada pengurusan MRSM.
“Terjahan ini memperlihatkan bahawa fasiliti di negara kita masih berada pada tahap kurang memuaskan dari aspek penjagaan dan penyelenggaraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lam Thye berkata, selaku institusi yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif kepada pelajar, MRSM seharusnya memastikan persekitaran berada dalam keadaan memuaskan bagi memastikan pelajar dijaga dengan baik.
Beliau berkata, masalah kesihatan akibat keracunan makanan mahupun makanan yang kurang elok mendedahkan pelajar kepada risiko ancaman nyawa.
“Justeru, terjahan mengejut seperti ini boleh dilakukan di semua MRSM yang lain juga,” katanya.
Lam Thye turut menyatakan sokongan penuh terhadap tinjauan mengejut #TerjahMRSM kerana langkah itu penting bagi memastikan setiap institusi yang bertanggungjawab terhadap kebajikan pelajar menjalankan fungsi semaksimum mungkin.
“Selaku Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat yang mana aspek keselamatan dan kesihatan menjadi objektif utama kami perjuangkan, adalah menyedihkan melihat pelajar-pelajar terpaksa tinggal dalam keadaan fasiliti yang kurang baik seperti tandas pintu yang roboh dan sebagainya.
“Juga mengerikan apabila dilaporkan ada pelajar yang berpotensi boleh keracunan makanan kerana kualiti makanan yang disediakan oleh pihak kantin asrama,” katanya.
Katanya, keadaan seumpama bukan sahaja berlaku di MRSM Langkawi seperti yang dibuat baru-baru ini malah di banyak tempat juga.
Beliau mengulas video tular memaparkan tindakan Asyraf Wajdi membuat tinjauan mengejut di sebuah MRSM Langkawi tanpa memberikan notis kepada pihak sekolah terlebih dahulu.
Daripada video berkenaan, dilaporkan bahawa Asyraf Wajdi mengadakan lawatan mengejut ke MRSM terbabit untuk mengesahkan beberapa aduan dari netizen mengenai keadaan dewan makan, kualiti fasiliti, dan persekitaran sekolah yang dikhabarkan berada dalam keadaan kurang memuaskan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.