comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tipu umrah: 252 kertas siasatan dibuka, babit kerugian RM9.8 juta 

 

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan & Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Sebanyak 252 kertas siasatan berhubung penipuan umrah telah dibuka sejak tahun 2019 sehingga Mei tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan, ia melibatkan kerugian berjumlah RM9.81 juta.

“Berdasarkan statistik dikongsikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dari tahun 2019 hingga Mei 2024, sebanyak 252 kertas siasatan telah dibuka untuk kes penipuan umrah yang melibatkan kerugian sebanyak RM9.81 juta.

“Manakala, bagi tuntutan tebus rugi bagi pembelian barang dan perkhidmatan berjumlah tidak melebihi RM50,000 dalam masa 3 tahun adalah di bawah kuasa Tribunal Tuntuan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) seperti mana diperuntukkan di bawah Akta 599, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Berdasarkan statistik yang dikongsi TPPM, dari tahun 2019 hingga Mei 2024, TPPM mencatatkan 1549 kes dgn jumlah tuntutan RM29.58 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Permatan Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Katanya, dalam tempoh itu juga, MOTAC telah menerima sebanyak 349 aduan berkenaan umrah dengan kerugian sebanyak RM14.09 juta.

“MOTAC telah menasihatkan pengadu untuk membuat tuntutan TTPM bagi tebus rugi dan membuat laporan polis bagi kes penipuan.

Sehubungan itu katanya, MOTAC telah membuka sebanyak 19 kertas siasatan berhubung isu umrah dengan lapan kes telah dikompaun sebanyak RM241,000.

“Selain itu, kami juga telah menggantung dan membatal lesen bagi dua agensi pengendali umrah berhubung dgn kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

“MOTAC mengambil langkah pencegahan dalam memantau syarikat tidak berlesen atas talian yang berkemungkinan melakukan penipuan dengan mengemaskini senarai amaran entiti yang melanggar akta itu di laman sesawang dan media sosial.

“Kami sering bekerjasama dgn SKMM untuk menyekat dan menyahaktifkan akaun laman sosial entiti tidak berlesen.

“Sehingga Mei 2024, terdapat sebanyak 272 entiti yang tidak berlesen dan didapati menjual  pakej pelancongan.

Tambah beliau, Akta Industri Pelancongan juga akan diperkasa, dengan memberi lebih fokus kepada penguatkuasaan.

“Kerana akta ini sudah agak lama tidak diperbaharui atau diangkat sebagai satu akta yang lebih hebat, kita akan memastikan akta ini, dapat dilihat supaya akta ini lebih ada sudut penguatkuasaan yang lebih.”

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini