
KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berkaitan Titah Adendum, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu berkata proses rakaman keterangan dilakukan pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Katanya, proses itu akan dijalankan di Studio Keluar Sekejap di Jalan Setia Bakti, Damansara di sini, dijadual pada jam 3 petang tadi.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Siasatan dijalankan susulan laporan polis yang diterima daripada Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Jumaat lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Datuk Suraya Yaacob tampil membuat laporan polis selepas melihat satu artikel di sebuah portal yang melaporkan Khairy mendakwa Azalina berkomplot menyembunyikan Titah Adendum.
Laporan itu dibuat supaya polis segera menyiasat bekas Menteri Kesihatan itu.
Berdasarkan laporan polis yang tular di media sosial, Suraya memberitahu kenyataan yang dibuat oleh Khairy itu tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai menteri Kabinet.
Difahamkan, selain laporan polis oleh Suraya, laporan polis berhubung isu sama turut dibuat oleh Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Nor Azrina Surip.
Terdahulu, Khairy dalam podcast episod 138 ‘Keluar Sekejap’ yang disiarkan pada Khamis lalu mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman penjara pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.
Dalam program yang dihoskan berasma, Shahril Hamdan itu, Khairy turut mendakwa tidak mungkin Peguam Negara (AG) gagal memaklumkan terus kepada Azalina berhubung kewujudan Titah Adendum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.