comscore
Tumpuan :
Nasional

Titah Adendum: Zaliha minta rujuk kenyataan PM

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: “Rujuk apa yang Datuk Seri (Anwar Ibrahim) dah sebut itu, tiada apa (komen) dari saya.”

Demikian jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa apabila diasak wartawan mengenai sama ada wujud Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga antara anggota Lembaga Pengampunan meminta semua pihak untuk merujuk kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri.

“Dah ada (ulasan) daripada Datuk Seri (Anwar),” katanya yang ditemui pada Majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini hari ini yang turut dihadiri Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada 21 April lalu, ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR, Anwar dilapor berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan Titah Adendum berkenaan biarpun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.

Jelasnya, sebarang keputusan berhubung Titah Adendum mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Titah Adendum terbabit supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum berkenaan.

Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights pada 30 Januari lalu.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Tengku Zafrul untuk kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Ahmad Zahid.

Peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan pihaknya terhadap permohonan dibuat Tengku Zafrul.

Beliau berkata, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu tidak mewakili mana-mana pihak dan afidavit yang ingin difailkan itu seolah-olah ‘terapung’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini