Tumpuan :
Nasional

Titah Agong mulakan penggal keempat Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR: Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan menjadi tumpuan utama hari ini apabila baginda merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat.

Inti pati titah diraja itu dijangka menyentuh pelbagai perkara penting termasuk soal pembangunan negara serta peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Sebelum urusan titah diraja berlangsung di Dewan Rakyat, Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat ke dataran Parlimen bagi menerima sembah hormat diraja oleh pasukan kawalan kehormatan utama, Batalion Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, barisan jemaah menteri dan ketua perwakilan asing turut dijadual menghadiri istiadat berkenaan.

Mengikut takwim di laman sesawang rasmi Parlimen, selain pembentangan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja, persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari, turut menyaksikan Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan usul itu selama tujuh hari mulai 4 Februari.

Sidang Parlimen kemudian diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan pada 19 hingga 25 Februari.

Sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung enam hari terakhir persidangan bermula 26 Februari.

Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac.

Dalam pada itu, antara agenda penting pada persidangan Dewan Rakyat kali ini adalah pembentangan untuk bacaan kali kedua beberapa RUU antaranya RUU Mufti (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2024, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (pindaan) 2024, RUU Majlis Media Malaysia 2024 serta RUU BERNAMA (pindaan) 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini