comscore
Tumpuan :
Nasional

Titah terakhir Agong kepada anggota pentadbiran, jangan dikaburi kedudukan, harta benda

Foto ihsan Istana Negara

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan anggota pentadbiran untuk menabur khidmat bakti kepada rakyat demi Malaysia dan tidak dikaburi dengan kedudukan atau kepentingan peribadi.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, peringatan itu disampaikan baginda menerusi warkah perutusan terakhir yang diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi menghadap untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara semalam.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (Foto fail) 

Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, warkah berkenaan dibacakan Anwar pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Dalam warkah tersebut, Tuanku (Al-Sultan Abdullah) juga telah menitahkan nasihat, peringatan (menerusi) sepotong ayat yang pernah dinukil Imam Al-Ghazali – ‘Sebenarnya kerosakan rakyat disebabkan kerosakan pemimpinnya, dan kerosakan pemimpin disebabkan oleh kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan cinta harta dan kedudukan’.

“Itulah peringatan yang telah dititah Tuanku dan disampaikan kepada Jemaah Menteri sebagai peringatan agar kami sentiasa berkhidmat demi negara dan tidak memikirkan tentang kedudukan atau harta benda dan (kepentingan) peribadi,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Anwar Ibrahim untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, iaitu kali terakhir sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan berakhir 30 Januari ini selepas bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Istana Negara dalam hantaran di Facebook rasmi berkata, sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda berangkat menghadiri mesyuarat pra-Kabinet sebanyak 160 kali dengan empat Perdana Menteri dengan mesyuarat pra-Kabinet yang pertama dihadiri baginda adalah pada 13 Februari 2019.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dalam warkah tersebut, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, mantan Perdana Menteri, Menteri-menteri dan mantan Menteri yang telah berkhidmat sepanjang baginda bersemayam di Istana Negara.

Loading...
Terkini