Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 3 penjenayah samun, curi kenderaan sewa mati ditembak di Rawang

Kenderaan yang dinaiki tiga orang penjenayah yang terlibat dalam kegiatan mencuri

RAWANG: Tiga penjenayah samun dan curi kenderaan sewa yang aktif sejak tahun 2018 maut dalam kejadian tembak-menembak dengan polis berhampiran Persiaran Kota Emerald tengah hari tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kesemua suspek melepaskan tembakan ke arah polis ketika ditahan berhampiran lokasi.

“Kita telah berjaya menumpaskan satu kumpulan kes samun dan curi kenderaan. Dalam konteks risikan kita telah menjejaki kumpulan ini sejak tahun lepas.

“Apa yang berlaku hari ini mereka telah menyewa kenderaan baharu dan telah menukar nombor pendaftaran kereta tersebut.

“Pihak kami telah buat keputusan untuk menahan dan menangkap, tapi apabila kita perkenalkan diri mereka telah melepaskan tembakan dan melarikan diri. Jadi kita mengejar dalam proses kejar-mengejar itu masih berlaku berbalas tembakan sehingga ke lokasi,” jelasnya.

Suspek yang maut merupakan warga tempatan masing-masing berusia antara 40 hingga 43 tahun dan mempunyai puluhan rekod jenayah lampau.

Siasatan polis di dalam kenderaan suspek membawa penemuan dua pucuk pistol, satu paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah dan satu alat untuk digunakan mencuri kenderaan.

“Modes operandi mereka akan menggunakan kenderaan sewa dimana mereka akan tukar nombor pendaftaran dan melaksanakan jenayah tersebut,” jelasnya lagi ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Tambahnya, polis percaya terdapat saki-baki kumpulan itu yang masih dijejaki sehingga kini.

Pemerhatian TV3 mendapati kenderaan Unit Forensik PDRM tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4.16 petang untuk menjalankan siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini