comscore
Tumpuan :
Nasional

TLDM belanja RM30 juta baiki, naik taraf kemudahan pangkalan tahun lalu

FOTO: Tentera Laut Diraja Malaysia/ Facebook

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membelanjakan sebanyak RM30 juta pada tahun lalu bagi kerja pembaikan dan menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Wisma Pegawai, Wisma Bintara dan Wisma Laskar di pangkalan TLDM di seluruh negara.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, antara kerja pembaikan dan menaik taraf yang berjaya dijalankan pada tahun lepas ialah kerja naik taraf RKAT dan Sekolah Kebangsaan di Pangkalan TLDM Lumut.

Menurutnya, kerja pembaikan dan menaik taraf kemudahan turut dijalankan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kuantan dan Pangkalan TLDM Sandakan, selain pembaikan secara menyeluruh Menara Sri Pulai dan Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih.

“Pada tahun lalu juga Kerajaan Sarawak pada 26 Disember telah memberikan kelulusan bagi pembangunan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) bertempat di Samalaju, Bintulu dan kini dalam proses akhir perolehan tanah dan pembinaan dijangka bermula pada tahun ini.

FOTO: Tentera Laut Diraja Malaysia/ Facebook

“MAWILLA 4 ini adalah sangat penting bagi mempertahankan kedaulatan negara daripada insiden pencerobohan asing dan melindungi kepentingan sumber negara terutama sekali di Laut China Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Tahun Baharu dan Setahun Pemerintahannya sebagai Panglima Tentera Laut di Wisma Pertahanan hari ini.

Tan Sri Abdul Rahman juga berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan perolehan tiga Littoral Mission Ship Batch Kedua (LMSB2) yang berkeupayaan kombatan untuk TLDM.

Katanya rundingan teknikal spesifikasi dan klausa kontrak akan diadakan dengan firma terpilih sebaik sahaja surat niat dikeluarkan dan TLDM mensasarkan untuk menyelesaikan semua keperluan dokumen kontrak perolehan itu sebelum pertengahan tahun.

Tambahnya, TLDM juga akan terus memacu usaha untuk meningkatkan keupayaan dan memperkasakan armadanya dengan perolehan aset baharu seperti kapal Multi Role Support Ship (MRSS).

“Keperluan ini amat penting terutamanya dalam memastikan keperluan operasi logistik TLDM dan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di dalam negara mahupun negara serantau dapat dilaksanakan dengan berkesan. Saya yakin dan percaya, melalui perolehan aset baharu tersebut, TLDM semestinya mampu melaksanakan operasi dengan lebih efisien dan efektif,” katanya.

Beliau turut menyeru anggota dan pegawai TLDM untuk terus memberikan sokongan dan kerjasama yang jitu demi memastikan visi untuk menjadi sebuah angkatan laut yang cemerlang dapat dicapai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini