comscore
Tumpuan :
Nasional

TLDM beri kerjasama penuh kepada SPRM berhubung siasatan kes ‘kartel perolehan’

KUANTAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan beberapa anggotanya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan kes ‘kartel perolehan’ membabitkan kerja pembinaan di sebuah kem miliknya di Johor.

Tanpa mendedahkan identiti serta bilangan anggota terbabit, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, mereka dipanggil untuk memberikan keterangan susulan siasatan yang dijalankan.

Selain itu, beliau turut mengesahkan beberapa dokumen turut diambil SPRM untuk tujuan sama.

“Memang ada beberapa anggota TLDM dipanggil untuk memberikan keterangan dan dokumen juga diambil,” katanya ketika ditemui media selepas upacara penamaan dan pentauliahan Kapal Diraja (KD) Sri Sabah dan KD Sri Sarawak di Tanjung Gelang, di sini hari ini.

Abdul Rahman (tengah) memeriksa barisan pada upacara penamaan dan pentauliahan kapal KD Sri Sabah dan KD Sri Sarawak di Kuantan. – FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan tiga lelaki dipercayai bertindak sebagai dalang kepada ‘kartel perolehan’ membabitkan kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM bernilai lebih RM9 juta di Johor, semalam.

Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia dalam lingkungan 28 hingga 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira 6 petang susulan kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang ‘kartel perolehan’ kepada 13 syarikat pembekal yang menguruskan kerja pembinaan di kem berkenaan.

Sumber memaklumkan pembayaran penuh telah dibuat, namun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, TLDM sedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung siasatan kes itu.

“Setakat ini, saya tidak boleh komen banyak sangat, tunggu siasatan SPRM selesai.

“Sebaiknya kita tunggu laporan SPRM dan tindakan sewajarnya akan diambil hasil laporan siasatan itu,” katanya.

Loading...
Terkini