comscore
Tumpuan :
Nasional

TLDM harap kerajaan baharu ambil berat isu aset usang dan kritikal

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berharap kerajaan baharu mengambil berat isu aset usang dan kritikal termasuk projek kapal tempur pesisir (LCS) yang tergendala sejak sekian lama demi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan serta kepentingan maritim negara sentiasa terjamin.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany yakin kerajaan baharu akan terus komited berhubung isu berkenaan dan perkara itu akan beliau panjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di samping itu, TLDM berharap agar kerajaan baharu dapat menyelaraskan bajet keselamatan daripada 1 peratus kepada 1.5 peratus agar keupayaan pertahanan dapat disesuaikan dengan senario landskap keselamatan semasa.”

“Pelan Transformasi 15 to 5 TLDM ada banyak elemen; pertama meneruskan projek LCS yang tergendala sekian lama; kedua, perolehan batch kedua kapal misi pesisir (LMSB2); ketiga, Perolehan batch kedua Helikopter Operasi Maritim (HOMB2); seterusnya saya tidak mampu menyenaraikan semuanya ada banyak lagi.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan HOM ketiga di Stesen Udara Kota Kinabalu, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Sabah hari ini.

Terdahulu bekas Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan penyerahan LCS pertama kepada TLDM kekal dalam tempoh satu hingga dua tahun lagi, seperti diumumkannya Ogos lalu.

Sambil menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10, Tan Sri Reza dalam sidang media sama turut akan memberi kerjasama penuh kepada Menteri Pertahanan yang akan dilantik kelak di bawah kepimpinan kerajaan baharu.

Bercakap mengenai perolehan HOM ketiga, Tan Sri Reza berkata kemasukannya dalam inventori TLDM amat penting dalam menampung keusangan aset TLDM yang kian runcing.

Perolehan HOMB2 membabitkan dua buah helikopter pula ujar Tan Sri Reza sedang diusahakan perolehannya bagi melengkapkan jumlah helikopter dalam satu skuadron.

Permohonan itu kini pada peringkat Kementerian Pertahanan untuk diangkat ke Unit Perancangan ekonomi. “Dua buah untuk batch kedua dan seterusnya kita buat secara berperingkat, kita pun faham masalah kewangan negara dan lain-lain yang perlu diambil kira,” katanya.

HOM Agusta Westland 139 (AW139) diserahkan hari ini dengan Sijil Serah Terima ditandatangani Pengarah Urusan Syarikat Galaxy Aerospace Malaysia (GAM) Sdn Bhd, Datuk Shamsul Kamar Samsudin bersama Tan Sri Reza.

Penyerahan berkenaan telah melengkapkan kontrak perolehan tiga buah helikopter AW139 yang dimeterai oleh Kerajaan Malaysia dan GAM pada 11 September 2020 bagi memenuhi keperluan semasa operasi udara TLDM selari dengan misi memperkasa keupayaan pengawasan maritim negara.

Dua HOM AW139 sebelum ini telah diterima pada April lalu dan dioperasikan secara rasmi oleh Skuadron 503 satu Julai lalu manakala HOM AW139 ketiga selamat tiba di Kota Kinabalu pada 29 Oktober lalu.

Loading...
Terkini