comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] TLDM tubuh Lembaga Siasatan kenal pasti punca kebakaran 

 

LUMUT: Satu Lembaga Siasatan ditubuhkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi mengenal pasti punca kebakaran sebuah kapal milik TLDM yang sedang menjalani rutin pasang pulih di Grade One Marine Shipyard, Kampung Acheh, Sitiawan, di sini, pagi tadi.

Dalam satu kenyataan, Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat mengesahkan kapal perang jenis korvet F136 Kelas Laksamana iaitu Kapal Diraja (KD) Laksamana Muhammad Amin itu terlibat dalam kebakaran kecil jam 9.50 pagi.

Kenyataan itu menyebut kebakaran berkenaan disedari petugas kapal dan dapat dipadamkan dalam tempoh 20 minit hasil tindakan pantas pihak kapal dengan bantuan pihak limbungan dan pasukan bomba.

“Bahagian kapal yang terjejas adalah sebahagian kecil laluan utama, ruangan penginapan belakang dan ruangan simpanan peluru.

“Sesuai dengan prosedur operasi standard TLDM, ketika kapal menjalani kerja pembaikan di limbungan, semua bahan letupan dipindahkan keluar untuk simpanan keselamatan.

“Kapal juga tidak dihuni sepanjang tempoh tersebut melainkan petugas yang melaksanakan rondaan keselamatan pada masa yang ditetapkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan besar berlaku akibat kebakaran.

TLDM turut menunggu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan taksiran kerosakan sebenar.

Loading...
Terkini