comscore
Tumpuan :
Nasional

TNB Melaka tebat pencawang elak risiko banjir

MELAKA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil langkah menebat beberapa pencawangnya di kawasan berisiko banjir di Melaka Tengah .

Ia bagi mengelak ditenggelami air akibat banjir, terutama ketika musim tengkujuh.

Pengurus Besar TNB Melaka, Khairizam Ibrahim, berkata antara pencawang selesai ditebat ialah di Taman Merdeka dan Sungai Putat .

Kedua-dua kawasan sering dilanda banjir kilat walaupun hujan berlaku dalam tempoh singkat.

“Dua pencawang di Alor Gajah juga dalam proses ditebat dan dijangka siap tahun depan, bagi mengelak daripada mengalami kerugian kira-kira RM50,000 bagi setiap pencawang jika dimasuki air.

“Proses menebat itu menggunakan cara melebarkan asas pencawang dan membina dinding bagi mengelak dinaiki air,” katanya kepada pemberita, di sini.

Dalam pada itu, Khairizam berkata, TNB juga akan melakukan pemeriksaan lebih kerap terhadap pepasang di negeri ini, terutama ketika hujan, bagi memudahkan operasi mematikan bekalan elektrik jika berlaku bencana.

Ia untuk memastikan keselamatan di kawasan sekitar khususnya yang berpenduduk.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan memastikan bekalan elektrik stabil sepanjang masa di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir.

“Malah pada peringkat operasi TNB, kita menyediakan generator mudah alih jika diperlukan di mana-mana PPS yang terjejas bekalan elektrik,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini