comscore
Tumpuan :
Nasional

Tokmat optimis undi majoriti menang di Rembau naik

Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Salbiah Tengku Nujumudin mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau

Oleh Izzatie Rizan

REMBAU: Calon Barisan Nasional (BN) Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau pagi tadi.

Timbalan Pengerusi BN itu tiba di pusat mengundi bersama isteri Raja Salbiah Tengku Nujumudin jam 9.08 pagi.

 

Beliau yang ditemui selepas sesi mengundi memberitahu optimis pengundi akan menyebelahi BN kali ini malah menjangkakan majoriti undi di Rembau meningkat.

“InsyaAllah saya yakin majoriti di Rembau ini akan meningkat daripada sebelum ini kerana sepanjang 13 hari saya berkempen sokongan daripada penduduk amat baik sekali tidak seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kita boleh baca dia punya gerak badan pun kita dah tahu”

“Tapi pada kali ini pengundi amat mesra dan mereka amat menyambut baik kedatangan kita,”katanya.

 

Parlimen Rembau menyaksikan pertembungan sengit lima penjuru melibatkan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; manakala PH mengetengahkan bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha, PN menampilkan Setiausaha Badan Perhubungan PN negeri, Mohd Nazree Mohd Yunus; diikuti Ramly Awalludin (Pejuang) serta S. Tinagaran mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Untuk rekod, pada PRU-14 kerusi Parlimen Rembau dimenangi Khairy Jamaluddin dengan majoriti 4,364 undi.

Beliau memperoleh 36,096 undi menewaskan calon PKR, Lt. Kol. (B) Roseli Abdul Ghani yang mendapat 31,732 undi manakala calon Pas, Mustafa Dolah memperoleh 6,028 undi.

Khairy yang juga penyandang tiga penggal bagi parlimen Rembau sebelum ini memberi laluan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding pada PRU-15 untuk kerusi ini.

Loading...
Terkini