comscore
Tumpuan :
Nasional

TPM lakukan tinjauan mengejut ke CIQ Bangunan Sultan Iskandar 

Fadillah (kiri sekali) ketika melakukan lawatan mengejut terhadap CIQ Bangunan Sultan Ibrahim Johor Bahru awal pagi tadi

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Fadillah Yusof melakukan tinjauan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru bagi melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk membabitkan dua negara iaitu Malaysia dan Singapura.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebaik tiba di BSI, beliau meninjau ruang legar yang menempatkan kedai-kedai dan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebelum meninjau ke laluan pejalan kaki untuk ke pintu keluar ke Singapura.

“Saya kemudian ke bahagian pasport autogate, imigresen, sistem pengimbas kastam, bahagian motosikal yang menggunakan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) dan bas.

“Saya turut berjumpa dengan pengguna perkhidmatan awam di BSI dan para petugas serta melihat sendiri bahagian laluan bas serta mengambil gambar menggunakan telefon bimbit,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.

Fadillah berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak berkuasa berkaitan yang membantu melancarkan tinjauan mengejut pada jam 4.15 pagi itu.

“Insya-Allah, hasil tinjauan ini akan dijadikan panduan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor yang saya pengerusikan.

“Terima kasih juga pegawai imigresen dan polis yang membantu dan menerangkan proses perjalanan kemasukan pelancong selepas dapat menghidu kehadiran saya di CIQ berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini