comscore
Tumpuan :
Nasional

TPM sasar wujud 500,000 pelatih TVET dalam tempoh 5 tahun

Oleh: Juliana Sharin & Nurain Nadhirah Kamarulakmam

PETALING JAYA: Kerajaan sasar untuk melahirkan 500,000 pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Bumiputera dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin, jumlah itu dapat dicapai melebihi apa yang dihasratkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu 100,000 orang.

Datuk Seri Zahid berkongsi azamnya itu ketika mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya siang tadi.

Ketibaan beliau disambut Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian MPB, Kamaruddin Mape.

Datuk Seri Zahid berkata usaha mencapai sasaran itu diselaraskan bersama 12 kementerian, melibatkan 1345 institusi TVET dengan peruntukan RM6.8 billion.

 

“Saya tidak terlalu yakin dan saya tidak riak, apatah lagi ujub untuk menyatakan dalam tempoh lima tahun saya akan capai 500,000. Yang dilakukan adalah menyediakan peluang pekerjaan, menyediakan kursus yang bersesuaian dan menyediakan teknologi baru supaya pasaran akan dapat kita penuhi,” katanya.

Tambah beliau pelbagaian kursus TVET akan ditawarkan termasuk bidang baharu berteknologi tinggi.

Langkah itu diyakini dapat menarik minat lebih ramai pelajar untuk menceburi bidang TVET.

“Umpamanya Kereta Elektrik (EV). Di sebuah negara besar EV telah berada di belakang, yang ada sekarang kenderaan jimat tenaga (EEV) tenaga boleh diperbaharui, tenaga solar. Begitu juga kita lihat kecerdasan buatan (AI). Perkara ini yang akan kita ketengahkan. Sebab kita banyak pelajar pintar masuk ke universiti dalam bidang ijazah yang pelbagai tetapi mereka sukar mendapat pekerjaan. Industri perlukan mereka yang berkemahiran dan berketerampilan,” tambah beliau.

Bagi memudahkan urusan pengambillan pihaknya mewujudkan sistem berpusat untuk semua permohonan kemasukan ke institusi TVET, seperti yang dilakukan pihak universiti menerusi Unit Pusat Universiti (UPU) agar lebih sistematik.

Kelmarin Perdana Menteri ketika berucap pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya berkata 100,000 pelatih TVET Bumiputera akan dilahirkan dengan gaji RM3000 lebih tinggi daripada gaji minimum.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini