comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali :  2 kawasan ramai mangsa tertimbus tumpuan pasukan penyelamat

HULU SELANGOR: Dua daripada tiga sektor kawasan tapak perkhemahan menjadi tumpuan 231 anggota pasukan penyelamat dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Dua sektor berkenaan membabitkan Sektor A (Hilltop) dan Sektor B (Farmview) .

Manakala Sektor C (Riverside) dilaporkan kurang terjejas dan sebahagian besar mangsa di kawasan itu sudah diselamatkan.

Menurut Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohamad, pada masa ini pasukan penyelamat memberikan tumpuan terhadap sektor A dan sektor B.

“Ini kerana dua sektor berkenaan adalah yang paling terjejas iaitu dari atas bukit berhampiran terus menuju ke arah sektor A dan Sektor B.

“Kawasan sektor C sedikit terjejas dan kita percaya kebanyakan mangsa belum ditemui adalah daripada dua sektor berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata sehubungan itu tumpuan diberikan secara menyeluruh di lokasi berkenaan.

“Pada masa ini kita sentiasa mempertingkatkan jumlah keanggotaan yang memberi fokus mencari dan menyelamat serta memastikan keselamatan setiap anggota sekiranya terdapat kemungkinan berlakunya tanah runtuh lagi di kawasan ini,” katanya.

Mengulas kronologi kejadian, Nor Hisham memaklumkan pada peringkat awal 53 mangsa dapat diselamatkan dan dibawa keluar setakat jam 9 pagi.

“Ini disusuli dengan penemuan tujuh lagi mangsa yang dikesan cedera sebelum seorang operator yang mengendalikan tapak perkhemahan ini ditemui selamat.

“Hingga jam 11.30 pagi seramai 11 mangsa ditemui maut termasuk seorang kanak-kanak,” katanya.

Dalam tempoh antara jam 11.45 pagi hingga jam 1 tengah hari, pasukan penyelamat menemui lima lagi mayat mangsa.

Setakat jam 3 petang tadi, semua lima mayat mangsa terakhir dimasukkan ke dalam trak polis untuk dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Loading...
Terkini