comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali : Pahang digesa semak semula projek berisiko terutama cerun

KUANTAN: Kerajaan Pahang digesa menyemak semula setiap projek yang dijalankan di cerun bukit dan kawasan yang berisiko berlaku tanah runtuh.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, berkata semakan itu perlu dilakukan segera untuk mengelak berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan jiwa.

Katanya, langkah keselamatan perlu dititik berat dan menjadi keutamaan, terutama ketika musim tengkujuh.

“Oleh itu, setiap agensi atau jabatan berkaitan mesti mengadakan pemeriksaan di setiap tapak projek di kawasan cerun berbukit,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Young Syefura berkata, pengusaha tempat percutian yang terletak di kawasan berisiko tanah runtuh diminta lebih peka dengan keadaan di sekeliling kawasan mereka.

“Saya mohon agar pengusaha bertanggungjawab dalam memastikan tiada rekahan atau tanda awal pergerakan tanah.

“Segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat kesan rekahan di kawasan mereka.

“Begitu juga kawasan berisiko yang lain seperti kawasan di tepi pantai dan tepi sungai,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap Jalan Batang Kali-Genting Highlands dibaik pulih dan dibuka semula dengan segera kerana jalan itu menjadi laluan utama bagi mereka yang tinggal di sekitar Batang Kali dan bekerja di Genting Highlands.

“Jika jalan ini ditutup dalam jangka masa yang lama, ia akan menyukarkan mereka untuk berulang-alik dari tempat tinggal ke tempat kerja.

“Laluan alternatif yang dicadangkan agak jauh dan mengambil masa lebih panjang selain kos perjalanan yang tinggi untuk tol dan minyak,” katanya.

Loading...
Terkini