Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: Permaisuri Agong berkenan tinjau operasi SAR tanah runtuh

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melawat tapak kejadian tanah runtuh. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melawat pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di Jalan Batang Kali – Gohtong di sini, hari ini.

Seri Paduka tiba di lokasi pada jam 4.30 petang, dengan diiringi anakanda Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah.

Ketibaan Baginda disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani Al-Sultan Abdullah.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Hamdan Wahid.

Baginda kemudian diberikan taklimat berkenaan operasi SAR yang berlangsung kira-kira 30 minit di khemah pusat operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi.

FOTO: NSTP

Sebaik selesai, Baginda bertitah kepada petugas media bahawa pasukan petugas mencari dan menyelamat (SAR) kini sedang berusaha sebaiknya untuk mencari baki mangsa yang belum ditemui.

“Diharap semua bersabar. Mereka sedang melakukan yang terbaik,” titahnya.

Baginda kemudian dibawa meninjau khemah pusat operasipasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dan saripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih hilang.

Loading...
Terkini