comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Batang Kali: Polis padan maklumat mangsa hilang dengan laporan waris

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dalam proses memadankan maklumat antara baki mangsa yang masih hilang dalam tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali – Gohtong dengan laporan polis ahli keluarga mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah itu bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa  dalam tragedi berkenaan.

“Kita yakin akan ada waris (mangsa) yang tampil ke balai (polis) memaklumkan ahli keluarga mereka tidak dikesan dan dipercayai hilang.

“Kita masih tunggu (laporan polis), selepas ini kita akan padankan dan maklumkan angka sebenar yang kita percaya masih lagi hilang,” katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Misi Bantuan Banjir Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke Pantai Timur di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini setelah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menemui beberapa petunjuk adanya mangsa tertimbus di kawasan berkenaan.

“Semalam ada jasad telah ditemui dan difahamkan beberapa lagi dikesan bomba. Pagi ini usaha diteruskan untuk kenal pasti bilangan (mangsa yang tertimbus) dan membawa keluar dari tempat kejadian,” katanya.

Masuk hari keenam tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lalu, menyaksikan 61 selamat dan lapan lagi mangsa masih dicari daripada keseluruhan 94 orang.

Kira-kira jam 11.15 malam tadi, mayat seorang kanak-kanak perempuan ditemui menjadikan angka korban meningkat kepada 25 orang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Suffian Abdullah yang mengesahkan penemuan  itu berkata, mayat mangsa berusia antara lima hingga tujuh tahun dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Mengulas mengenai banjir di Pantai Timur, Acryl Sani  memberitahu beberapa balai polis dinaiki air namun keadaan terkawal dan tidak teruk seperti bencana sebelum ini.

Pihaknya juga telah mengatur gerak anggota ke lokasi banjir.

“Bilangan keseluruhan (balai polis dinaiki air) sedang dikenal pasti. Anggota polis telah ambil langkah untuk memastikan dokumen penting dan peralatan mudah terjejas akibat air dialihkan ke tempat selamat.

“Setakat ini kontinjen guna elemen (anggota) di kontinjen masing-masing untuk memberi bantuan kepada pasukan keselamatan lain dalam usaha mengalih mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan memastikan pergerakan tenaga bantuan dijalankan dengan lancar,” katanya.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 10 pagi tadi, hampir 71 ribu  mangsa daripada 19,977 keluarga kini berlindung di PPS di Kelantan dan Terengganu.

Loading...
Terkini