comscore
Tumpuan :
Nasional

Tragedi Double Six: Kerajaan Sabah masih tuntut penjelasan kukuh 

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Walaupun laporan tragedi ‘Double Six’ sudah dinyahklasifikasikan tahun lalu namun usaha ke arah menemukan jawapan dan penjelasan lebih kukuh mengenainya akan terus dituntut kerajaan negeri Sabah kepada Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, sehingga kini hasil laporan terbabit tidak memberi gambaran jelas dan kekal misteri.

“Ya memang kita ada follow up saya sendiri telah bangkitkan isu ini dalam parlimen dan tidak mendapat jawapan hanya menjanjikan supaya laporan itu diklasifikasikan,

“Sekarang ini 40 lebih tahun telah diklasifikasikan laporan itu kita boleh lihat hanya misteri kenapa semasa penyiasatan itu penyiasat juga telah mengalami kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sempena upacara memperingati tragedi ‘Double Six’ ke-48 di Tugu Peringatan Sembulan, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Ahli Parliman Keningau berkata sambil menyifatkan ianya masih misteri dan lebih menimbulkan persoalan, keseluruhan laporan berkaitan hanya menceritakan sebahagian dan bukan secara keseluruhan.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan bersama keluarga mangsa pesawat terhempas dalam Tragedi Double Six yang berlaku 48 tahun lalu sempena upacara memperingati tragedi itu di Tugu Peringatan Sembulan, Kota Kinabalu.

“Kenapa mereka mahu perjanjian itu ditandatangani pada 14 Jun walaupun kita masih berkabung keluarga masih berkabung kenapa mereka (kerajaan persekutuan ketika tragedi itu) minta tandatangani?,” katanya.

Ketika tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Menteri Kewangan Persekutuan yang juga Pengerusi PETRONAS ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah berada di Labuan bersama Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephens bagi membincangkan perjanjian minyak dan gas.

Bagaimanapun, dilaporkan Fuad enggan menandatangani perjanjian berkenaan.

Tragedi Double Six mengorbankan Fuad dan anak sulungnya, Johari dan pengawal peribadi, Koperal Said Muhammad; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah, Datuk Chong Thien Vun;

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Salleh Sulong dan Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Wahid Peter Andau; Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah, Dr Syed Hussein Wafa serta Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh, Ishak Atan.

Semalam keluarga mangsa menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan pampasan daripada Kerajaan Persekutuan.

Tindakan itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama Faridah Stephen, Datuk Donald Peter Mojuntin dan Kartina Sulong, iaitu waris kepada tiga daripada 11 mangsa yang terkorban dalam tragedi yang berlaku di Pantai Kampung Sembulan, di sini, pada 6 Jun 1976.

Menerusi kenyataan itu, mereka menjelaskan bahawa tindakan berkenaan dibuat dengan harapan penderitaan besar dialami mereka selama hampir lima dekad diakui oleh Kerajaan Persekutuan.

Ia adalah tindakan terbaharu yang ditimbangkan selepas Laporan Siasatan Malaysia berhubung tragedi yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah, Tun Fuad Stephen pada ketika itu dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada umum pada 12 April 2023.

Selain Laporan Siasatan Malaysia, kerajaan Australia turut mendedahkan laporan di pihak mereka pada tahun lalu, kedua-duanya menunjukkan penemuan yang sama berhubung punca nahas pesawat terbabit.

Laporan Australia itu antara lain menyebut bahawa pesawat GAF Nomad terbabit dikendalikan secara haram dan juruterbang membenarkan pesawat itu terlebih muatan di bahagian belakang.

Dalam laporan pihak Malaysia, ia menyatakan bahawa tiada unsur sabotaj atau kegagalan enjin, manakala ujian patologi ke atas juruterbang Kapten Gandhi J Nathan membuktikan bahawa beliau cukup cergas pada masa itu dan tidak mengalami kesan alkohol atau dadah.

Berdasarkan laporan itu, kemungkinan punca nahas dalam tragedi terbabit ialah pesawat GAF Nomad terlebih muatan di bahagian belakang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini