KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Korea Selatan susulan insiden rempuhan pada pesta Halloween di Itaewon, Seoul, kelmarin.
Perdana Menteri berkata, beliau mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia turut bersimpati dengan insiden yang berlaku.
“Mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Korea Selatan di atas tragedi yang berlaku di Itaewon, Seoul pada 29 Oktober lalu.
“Simpati dan doa kami bersama mangsa serta keluarga mereka,” katanya di Facebook hari ini.
Memetik laporan agensi berita Reuters, sekurang-kurangnya 154 orang terbunuh manakala 149 cedera dalam insiden rempuhan membabitkan pengunjung yang menghadiri pesta Halloween berhampiran Hotel Hamilton di Itaewon.