Tumpuan :
Nasional

Tragedi Sungai Jahang: Kerajaan negeri bincang SOP keselamatan baharu

IPOH: Penghentian buat sementara waktu semua aktiviti riadah dan sukan air ‘outdoor’ di kawasan sungai terutama di Kampar, mungkin sehingga prosedur operasi standard (SOP) keselamatan baharu diperkenalkan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, langkah itu perlu dan yang terbaik dilaksana ketika ini, susulan tragedi tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas ketika aktiviti berakit arus deras, semalam.

Katanya, pihaknya sudah memulakan perbincangan dengan beberapa pihak dalam usaha mewujudkan pelancongan selamat menerusi SOP keselamatan yang diterima pakai semua pihak.

Menurutnya, ia demi pembangunan sektor ekopelancongan di Gopeng bagi jangka masa panjang.

“Pada masa sama, kerjasama dengan agensi kerajaan yang berkenaan untuk menambah baik sistem pemantauan aras air atau sistem amaran sungai juga akan bantu meningkatkan lagi tahap keselamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ng berkata, pengusaha pelancongan memahami rasional keputusan penangguhan aktiviti sukan air dan bersedia mengambil tindakan penyelarasan yang perlu.

“Demi pembangunan sektor ekopelancongan di Gopeng dalam jangka masa panjang, saya harap semua pihak berkepentingan akan sama-sama komited dan menyokong perancangan bagi menjamin keselamatan,” katanya.

Semalam, Pegawai Daerah Kampar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Nazrul Fazami Mohamad dilapor berkata, arahan menghentikan semua aktiviti riadah dan sukan air ‘outdoor’ terpakai kepada semua pengusaha resort dan tapak perkhemahan sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini