Tumpuan :
Nasional

Tragedi Sungai Jahang: Mangsa lemas sempat kongsi gambar air naik tinggi dan arus deras

Oleh: Selwam Arjunan

JITRA: Mangsa lemas tragedi di Sungai Jahang, Gopeng, sempat menghantar gambar kepada ibunya memaklumkan keadaan air sungai yang naik tinggi dan arus deras sebelum lemas ketika melakukan aktiviti ‘water rafting’.

Fatimah Walad, 70, ibu kepada pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Langkawi, Muhammad Ikram Abdul Bari, 29, berkata anaknya menghantar gambar dan video menerusi aplikasi WhatsApp sebelum turun melakukan aktiviti air.

Katanya, dia juga memberi amaran supaya lebih berhati-hati selepas melihat hantaran itu.

“Arwah sempat menghantar gambar dan video WhatsApp kepada saya keadaan di sungai itu pada ketika itu dan memaklumkan air sungai naik tinggi selain arusnya laju.

“Saya tak sedap hati dan menasihatkannya supaya berhati-hati dan jangan ‘stund’ (terjun) sangat sebab bimbang ada batu. Itulah kali terakhir saya berbual dengan arwah sebelum dia dilaporkan lemas.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah walaupun dia pergi dengan sekelip mata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permata, di sini, pagi tadi.

Jenazah Muhammad Ikram tiba di rumah dari Hospital Kampar kira-kira jam 8 pagi tadi.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Melele, Padang Sera, Kodiang selepas solat zohor.

Menurut Fatimah, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak bongsu daripada empat beradik itu pada jam 7 petang selepas hampir dua jam kejadian itu berlaku.

Katanya, tiga anaknya serta ahli keluarga yang lain sudah mengetahui lebih awal kejadian itu, namun tidak berani untuk memberitahunya kerana bimbang dia pengsan disebabkan dia mempunyai masalah jantung.

“Dia pergi ke Gopeng menunggang motosikal dan menghantar WhatsApp pada saya memaklumkan dia sudah sampai di lokasi (sungai berkenaan) pada jam 2.29 petang.

“Saya ingatkan dia supaya jamak dulu kerana waktu Zuhur dah nak habis dan hanya balas, ok saja sebelum dia mengambil gambar serta video air sungai yang mengalir deras ketika itu.

“Lepas tu dia kata nak makan dulu dan tunjuk pula gambar motosikalnya untuk memaklumkan yang dia sudah sampai di sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Permata, di sini hari ini.

Fatimah yang juga pesara guru berkata, rakannya ada menghantar WhatsApp kepadanya dan menyuruh dia membaca WhatsApp di telefon bimbitnya dan memaklumkan ada tiga pegawai JKR yang menyertai rombongan ke Sungai Jahang di Gopeng, lemas.

Katanya, ketika itu dia tidak tahu salah seorang mangsa adalah anaknya dan hanya mengetahui kejadian itu apabila abangnya serta anak-anaknya datang ke rumahnya kira-kira jam 8 malam tadi dan memberitahu kejadian itu.

Arwah yang memulakan tugas di JKR Langkawi sejak tiga tahun lalu meninggalkan isteri, Nur Afifah Amira Ahmad Fauzi, 29, dan anak tunggal, Aisy Adani, setahun tujuh bulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini