Tumpuan :
Nasional

Tragedi Sungai Jahang: Pengusaha aktiviti air akur arahan henti operasi

Pengurus Tapak Perkhemahan, Muhammad Nabil Noor Azwan (gambar kecil) menunjukkan surat dari Pejabat Daerah dan Tanah Kampar yang mengeluarkan arahan menghentikan operasi aktiviti riadah dan sukan air.

Oleh: Kumaran Rajamoney

KAMPAR: Pengusaha pusat peranginan dan rekreasi akur dengan arahan yang dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Kampar yang mahu mereka menghentikan operasi aktiviti riadah dan sukan air susulan kejadian tiga individu lemas di Sungai Jahang, di sini petang semalam.

Pengurus Tapak Perkhemahan, Muhammad Nabil Noor Azwan berkata pihaknya telah menerima surat makluman yang menjelaskan arahan itu berkuatkuasa serta merta.

“Sebenarnya penangguhan ini membawa kerugian kepada kita, tapi kita terpaksa akur dengan arahan ini kerana ia melibatkan isu keselamatan dan nyawa. Kita sudah memulakan proses pemulangan wang kepada mereka yang sudah membuat tempahan”

“Setakat ini kami belum dimaklumkan berapa lama tempoh penangguhan ini,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya.

Pengunjung, Fadlin Iman Abdullah.

Dalam pada itu, pengunjung Fadlin Iman Abdullah memaklumkan dia terkejut dengan kejadian itu.

“Setahu saya kawasan ini selamat sebenarnya. Tak pernah dengar berita seumpama ini. Jadi agak terkejut juga semalam.

Semalam, tiga individu termasuk seorang wanita maut akibat lemas selepas terjatuh dari rakit arus deras yang dinaiki mereka.

Kesemua mangsa berjaya dibawa naik di dua lokasi berbeza dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kesemua mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk dibedah siasat.

Kesemua mayat mangsa dituntut keluarga jam lima pagi tadi, untuk dikebumikan di kampung halaman masing-masing di Pulau Pinang dan Kedah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini