comscore
Tumpuan :
Nasional

Transformasi ekonomi negara dipercepat tahun ini

Oleh: Farah Nabilah Wazer

KUALA LUMPUR: Momentum transformasi ekonomi Malaysia dijangka meningkat pada 2024, mencerminkan asas kukuh ekonomi dan keyakinan pelabur terhadap negara.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Kerangka Ekonomi MADANI juga telah menggariskan strategi baharu dalam usaha memacu pertumbuhan baharu industri dan ekonomi mampan.

“Pertumbuhan 4.2 peratus yang memberangsangkan pada suku pertama 2024 menunjukkan keberkesanan dasar dan pengurusan ekonomi oleh kerajaan,” ujarnya.

“Kami (kerajaan) optimis bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang dalam julat ramalan rasmi antara empat peratus dan lima peratus pada 2024,” katanya dalam ucaptama di Persidangan Akauntan Antarabangsa (MIA) 2024 di ibu negara siang tadi.

Tambah beliau, pelabur antarabangsa juga semakin menunjukkan minat dengan naratif pembaharuan negara, seperti keyakinan yang ditunjukkan dalam pasaran modal domestik.

“Ini dibuktikan melalui FBM KLCI yang mencapai paras tertinggi baharu dan pelaburan daripada syarikat global seperti Microsoft, Google, ByteDance, Infineon Technologies dan Tesla,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini