comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Trauma lihat anak melambung dirempuh kereta

PASIR PUTEH: “Adik ada minta maaf dan tunjuk baju raya yang dibeli untuk raya tahun ini, tapi tak sangka itu petanda akhir dia nak tinggalkan kami,” kata ibu kepada dua beradik perempuan yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, semalam.

Lebih memilukan Nik Rohani Nik Leh, 54, apabila kehilangan Nurul Hanani, 30, dan Nurul Atikah Mohamad Zuhair, 24, buat selama-lamanya menjelang sembilan hari lagi umat Islam akan menyambut Ramadan.

Nik Rohani berkata, ketika kejadian dia dan suami, Mohamad Zuhair Che Mat, 54, serta anak kedua, Mohd Firdaus, 26, menaiki kereta untuk ke rumahnya ibunya di Kampung Sri Aman kira-kira tiga kilometer dari rumah.

Dua beradik itu yang juga anak sulung dan bongsu pula menaiki skuter dalam perjalanan ke tempat sama iaitu rumah nenek mereka, Hamidah Che Amat, 74.

“Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta Perodua Viva dari arah bertentangan masuk ke laluan kami dan merempuh bahagian sisi kereta sebelah pemandu kami naiki sebelum meluru ke arah anak-anak saya.

“Pada saat itu, saya hanya mampu menjerit apabila melihat kedua-anak anak melambung dan jatuh ke jalan,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Gong Mengkelih, hari ini.

Nik Rohani berkata, dia tidak mampu bergerak kerana terlalu terkejut manakala suaminya terus memberhentikan kereta dan bergegas ke arah anak mereka yang sudah meninggal dunia.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kejadian, arwah Atikah ada menunjukkan baju raya berwarna biru gelap yang dibeli di sebuah pasar raya. Arwah beria-ia mahu ahli keluarga turut memilih baju raya tema sama untuk dipakai Aidilfitri nanti.

“Saya akan merindui gelagat kedua-dua yang suka makan murtabak di bazar Ramadan, tambahan pula mereka banyak membantu saya jaga anak lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU),… kini anak saya hanya tinggal seorang,” katanya yang gagal menahan sebak selain turut kehilangan suara.

Sementara itu, Mohamad Zuhair berkata, dia asyik berasa tidak sedap hati sepanjang hari sebelum kejadian.

“Ketika anak minta nak bawa skuter ke rumah nenek mereka, saya dah larang, namun mereka tetap naik. Selepas mereka dirempuh, saya turun dan lihat dua anak bergelimpangan atas jalan dengan berlumuran darah. Saya cek (periksa) nadi mereka sudah tiada,” katanya.

Jenazah mereka dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Mengkelih, bersebelahan dengan rumah mereka pada 11 pagi tadi.

Dalam kejadian pada 6.30 petang semalam, Hanani dan Atikah maut selepas skuter dinaiki dirempuh Perodua Viva dipandu seorang wanita di Kilometer 37.5 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu (Jalan Bypass) lintasan ke Bandar Pasir Puteh.

Loading...
Terkini