Tumpuan :
Nasional

Trend penipuan ejen rumah sewa palsu semakin meningkat – FOMCA

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memberi amaran kepada orang ramai berhubung trend penipuan membabitkan ejen rumah sewa palsu yang semakin meningkat kini.

Setiausaha Agung FOMCA, Dr T Saravanan, berkata penipu terbabit menyamar sebagai ejen bagi memperdaya penyewa berpotensi, termasuk pelajar asing, dengan menunjukkan hartanah untuk disewa dan mengambil wang pendahuluan tetapi kemudian menghilangkan diri.

“Ramai pelajar asing menjadi mangsa penipuan ini kerana mereka tidak biasa dengan amalan penyewaan rumah tempatan dan kekurangan akses kepada maklumat yang betul.

“Penipu-penipu terbabit sering menyamar sebagai ejen profesional dan menggunakan kad perniagaan palsu, iklan dalam talian serta profil media sosial untuk kelihatan meyakinkan.

“Mereka mengatur pertemuan untuk melihat hartanah, selalunya unit yang mereka tiada akses sah, dan mewujudkan rasa mendesak dengan mendakwa terdapat permintaan tinggi terhadap harta itu. Mangsa kemudian didesak supaya segera membuat bayaran pendahuluan bagi mendapatkan unit berkenaan, namun ejen-ejen itu akan menghilangkan diri selepas menerima wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menasihati pengguna supaya mengelak daripada membuat pembayaran ke dalam akaun bank peribadi, memastikan semua pembayaran dilakukan melalui akaun rasmi agensi, dan hanya berurusan dengan ejen berdaftar serta bertauliah.

“Dokumentasi juga penting, iaitu sentiasa memastikan anda mendapatkan perjanjian penyewaan yang dimeterai dengan betul serta resit rasmi untuk semua pembayaran.

“Pelajar asing dinasihat mendapatkan panduan daripada institusi pendidikan atau rakan sebaya mereka sebelum meneruskan sebarang urusan penyewaan, bagi mengelak diri ditipu,” katanya.

Saravanan berkata, mangsa penipuan perlu membuat laporan polis dan juga melaporkan penipuan berkenaan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian hotline 997.

“FOMCA menggesa pihak berkuasa kerajaan dan institusi pendidikan untuk meningkatkan usaha mendidik orang ramai serta pelajar asing mengenai penipuan ini.

“Kempen kesedaran serta kerjasama antara universiti, agensi perumahan dan organisasi pengguna adalah penting dalam usaha mewujudkan persekitaran penyewaan yang lebih selamat.

“Pengguna yang memerlukan nasihat atau ingin melaporkan penipuan, boleh menghubungi FOMCA. FOMCA sentiasa komited memperjuangkan hak pengguna dan melindungi orang ramai daripada aktiviti penipuan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini