comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] [EKSKLUSIF] Trend permohonan meningkat, KPM segerakan penempatan

Foto hiasan

Oleh Fatin Hanani Sahimi

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), sebelum ini mendedahkan lebih 10,000 guru menghantar permohonan bersara awal setiap tahun.

Angka itu dikatakan menyamai kadar guru bersara wajib, namun apabila diajukan semula perkara itu, Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, trend itu tidak menampakkan penurunan, sebaliknya dikhuatiri terus meningkat.

Trend guru bersara awal bukan sahaja menjejaskan kekurangan guru dalam sesi pengajaran malah institusi sekolah juga kehilangan guru berpengalaman.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang

“10,000 adalah anggaran kasarnya, ia berdasarkan trend mendapatkan faedah persaraan di NUTP dan trend gelombang rungutan guru di lapangan apabila kita bersama sama ahli di peringkat bawah, ketika itu ramai yang sudah menyuarakan mereka ingin bersara dan tidak berpuas hati serta ada yang nak isi borang,” ujar Aminuddin.

Beliau juga tidak menolak dakwaan sesetengah guru memilih jalan itu disebabkan kerenah pentadbiran sekolah.

Katanya, ada guru besar yang bersifat diktator dan tidak bertimbang rasa sehingga menyumbang kepada peningkatan trend berkenaan.

Berdasarkan kajian dan analisis soal selidik kecenderungan bersara awal dalam kalangan guru mendapati, 36.6% guru mengakui jika diberi peluang, mereka lebih cenderung untuk bersara awal

Manakala 43% guru pula bersetuju, terbeban dengan tugas pengkeranian yang terpaksa dilakukan sewaktu pengajaran.

Pihaknya bagaimanapun kurang bersetuju terhadap dakwaan bebanan tugas menyebabkan kesihatan mental guru terganggu.

Sebaliknya menyarankan supaya ilmu berkaitan dengan kesihatan mental dan pengurusan tekanan diterapkan dalam kalangan pendidik.

“Saya rasa sudah tiba masanya pihak kementerian pendidikan, mewujudkan pusat panggilan dan ada pegawai khusus yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menangani isu guru yang berada dalam tekanan,” tambahnya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

Menteri pendidikan, Fadhlina Sidek juga tidak menafikan wujudnya peningkatan jumlah permohonan guru bersara awal, tahun lalu.

Jelasnya, ia didukung faktor menarik, termasuk kestabilan kewangan, keluarga, faedah persaraan dan kebajikan diri.

Manakala faktor menolak disebabkan pendigitalan pendidikan, kesihatan, jurang generasi dan perubahan pelaksanaan dasar.

“KPM mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya dengan memastikan bahawa penempatan guru itu akan disegerakan bila berlaku guru-guru yang bersara awal ini.

“Disamping meningkatkan profesionalisme dalam konteks peningkatan tahap guru-guru ini supaya mereka boleh sustain dalam kita punya sistem, yang ketiga adalah sokongan dari segi sosial dan emosi kepada guru-guru yang merasakan bahawa ada isu-isu yang terkait rapat dengan masalah masalah peribadi mereka.

Sejajar dengan isu persaraan awal guru, KPM turut menyenaraikan beberapa pendekatan ke arah membantu mengurangi permohonan bersara awal.

Antaranya, dengan menubuhkan jawatankuasa pengambilan dan penempatan guru KPM yang berperanan mengenal pasti perubahan dalam dasar, kurikulum, program dan sebagainya.

Selain itu, melaksanakan urusan pengambilan guru secara berterusan dari semasa ke semasa tertakluk kepada kekosongan jawatan dan keperluan pilihan mata pelajaran serta melaksanakan pertukaran guru sebanyak empat kali setahun bagi memudahkan pergerakan guru untuk mengisi kekurangan guru di luar bandar.

Tambahnya, KPM juga menggunakan kluster mata pelajaran bagi meningkatkan proses penempatan dan pertukaran guru.

“Kita sentiasa memberikan sokongan dalam sistem itu dan dalam masa yang sama kita bersedia untuk memastikan bekalan guru kita dan penempatan ini akan segera diisi sekiranya berlaku kekosongan akibat persaraan itu,” ujar Fadhlina Sidek.

17 Februari lalu, tujuh langkah ke arah kesejahteraan guru disarankan KPM seolah-olah memberi harapan kepada mereka.

Ia termasuk memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberikan impak kepada pembelajaran murid dan hanya membebankan tugas guru.

Loading...
Terkini