comscore
Tumpuan :
Nasional

Tuanku Muhriz pengerusikan Mesyuarat  Majlis Raja-Raja ke-260.

Oleh : Siti Khadijah Jaafar

Kuala Lumpur : Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260 yang bersidang secara rasmi di Istana Negara hari ini.

Mesyuarat berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 29 dan 30 Jun lalu yang dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sebelum mempengerusikan Mesyuarat, Tuanku Muhriz berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) yang dibarisi Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Tuanku Muhriz kemudian menanam pokok Buah Ajaib di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik Yang Dipertuan Negeri Sembilan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyaksikan Majlis Penanaman pokok itu.

KKU dan Majlis Penanaman Pokok merupakan cetusan idea Al-Sultan Abdullah dan tidak pernah diadakan sebelum pelantikan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

KKU diadakan julung kalinya pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-254 manakala Majlis Penanaman Pokok pertama kali dilangsungkan pada mesyuarat kali ke-255.

Turut berangkat ke mesyuarat dua hari  ini, adalah Tuanku Syed Sirajuddin, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Selangor Sultan Sharafuffin Idris Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Berangkat sama, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Manakala Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Pada mesyuarat berkenaan, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri sementara Sarawak diiringi Timbalan Premier.

Loading...
Terkini