comscore
Tumpuan :
Nasional

Tubuh majlis pembangunan usahawan, peniaga kecil peringkat daerah

Guna foto Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencadangkan penubuhan sebuah majlis pembangunan usahawan, koperasi, penjaja, dan peniaga kecil di setiap daerah di negara ini bermula tahun depan.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata majlis yang akan dipengerusikan Pegawai Daerah masing-masing diharap dapat mengurus pembangunan dan menyelesaikan isu membabitkan usahawan, koperasi, penjaja, dan peniaga kecil di peringkat akar umbi secara lebih berkesan.

Beliau berkata, sebelum ini, terdapat majlis pembangunan usahawan dan koperasi di peringkat Parlimen, namun majlis itu perlu diperkasa, dan melihat ke hadapan majlis peringkat daerah dicadangkan itu ialah langkah terbaik bagi memperkasa usahawan, koperasi, penjaja, dan peniaga kecil.

“Majlis ini bukan hanya dapat selesaikan hal pelesenan, tetapi juga perkara lain membabitkan kemudahan infrastruktur di daerah. Hal pembiayaan jika tidak dapat diselesaikan, majlis ini akan maklumkan kepada kementerian (KUSKOP). Kita juga akan beri geran pentadbiran kepada majlis ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Kesepaduan Komuniti Usahawan dan Koperasi Parlimen Penampang di sini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K Saraswathy dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Pada majlis itu juga, 42 usahawan dan koperasi menerima pembiayaan melalui agensi KUSKOP iaitu TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Corporation Malaysia, Perbadanan Nasional Berhad, Amanah Ikhtiar Malaysia, UDA Holdings Berhad dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia membabitkan lebih RM5.27 juta. – BERNAMA

Loading...
Terkini