Oleh: Safwan Sawi
LABUAN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dengan menggerakkan sebuah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan ke Filipina, susulan kejadian Taufan Tropika Kristine (Trami) yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh.
TUDM dalam satu kenyataan berkata atur gerak aset terbabit bagi menzahirkan hasrat kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan menyokong kerajaan Filipina untuk bantuan logistik udara bagi mengedar barangan bantuan bencana di sekitar kawasan terjejas bencana.
Menurut kenyataan itu, pesawat TUDM telah berlepas pada jam 7 pagi tadi ke Pangkalan Udara Villamor di Manila.
“Susulan kejadian Taufan Tropika Kristine (Trami) yang telah menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di Filipina, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah aturgerak sebuah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan ke negara tersebut bagi melaksanakan Bantuan Misi Kemanusiaan (HADR).
“Aturgerak aset TUDM ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan menyokong Kerajaan Filipina untuk bantuan logistik udara bagi mobilisasi barangan bantuan bencana kepada rakyat mereka di sekitar kawasan terjejas bencana,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.
Penerbangan dianggar mengambil masa 5 jam 30 minit dan pasukan TUDM dijadual singgah di Pangkalan Udara Antonio Bautista terlebih dahulu bagi mengisi minyak.
Misi penerbangan diketuai Mejar Thaddeus Raphael Azis @ Sait bersama-sama 15 pegawai dan anggota TUDM lain terdiri daripada dua juruterbang, seorang pembantu juruterbang, dua pegawai kejuruteraan, dua kuartermaster udara, lima juruteknik pesawat serta empat anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
TUDM memaklumkan, Pangkalan Udara Villamor akan menjadi stesen utama bagi misi bantuan berkenaan.
Dari sana, pasukan TUDM akan digerakkan ke kawasan bencana diperlukan untuk penghantaran bantuan oleh kerajaan Filipina termasuk ke Lapangan Terbang Pili di Naga City dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Daraga, Albay.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.