comscore
Tumpuan :
Nasional

TUDM harap dapat miliki F/A-18 Hornet Kuwait

Pesawat F/A-18 E/F Super Hornet Tentera Udara Kuwait. – FOTO: defencesecurityasia

IPOH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Kuwait, walaupun negara Asia Barat itu kini menaik taraf jet berkenaan berikutan kelewatan tiba pesawat F/A-18E/F (Super Hornet) yang dibeli mereka.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan untuk lawatan teknikal ke Kuwait pada Jun ini, berkaitan program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) yang dirangka khususnya bagi mendapatkan sejumlah pesawat terpakai jenis berkenaan dari negara itu.

Beliau berkata, hasil lawatan nanti akan menentukan jumlah sebenar pesawat yang diperlukan, berbanding perolehan yang dirancang iaitu 33 pesawat F/A-18C/D milik Kuwait yang masih dalam keadaan baik serta mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

“Kerajaan sudah berbincang dan kita dalam proses untuk melaksanakan lawatan ke Kuwait. Kita masih menunggu masa dalam waktu terdekat ini, mungkin dalam bulan Jun ini Insya-Allah kita akan tubuhkan satu ‘team’ (pasukan) untuk melaksanakan lawatan teknikal itu.

“Kuwait mempunyai 39 pesawat itu yang terdiri dua dan satu tempat duduk sahaja. Jadi daripada lawatan itu nanti, TUDM dan Kerajaan Malaysia akan tentukan bilangan atau jumlah diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan acara Perbarisan Tamat Latihan 443 pelatih Perajurit Muda Udara (PjM U) Siri 67/2023 TUDM di Akademi Tentera Udara, di sini hari ini.

Mohd Asghar berkata, ketika ini ada lapan pesawat Hornet berada dalam inventori TUDM yang diperoleh dari 1995 sebelum mula beroperasi pada 1997.

“Harapan TUDM adalah sebelum perolehan pesawat MRCA (pesawat tempur pelbagai peranan) yang baharu, TUDM perlu menentukan pesawat-pesawat yang ada dalam inventori ini (Hornet) dapat melaksanakan tugasnya seperti yang diperlukan.

“Oleh demikian kita berharap dan merancang untuk menggunakan pesawat F/A-18 sehingga antara tahun 2035 hingga 2040, dan sekiranya lawatan ini memberi hasil positif iaitu barang-barang dan pesawat itu dapat digunakan sehingga tahun 2035 maka mungkin TUDM akan buat keputusan untuk membelinya,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf pesawat Hornet milik Kuwait itu, berkemungkinan membawa maksud bahawa negara itu belum bersedia untuk melepaskan pesawat miliknya itu, sama ada kepada Malaysia atau pihak lain.

Pada Jun lalu, Kuwait dilaporkan memohon kepada Amerika Syarikat (US) untuk menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet miliknya bernilai US$1.8 bilion disebabkan penghantaran pesawat pejuang F/A-18E/F Super Hornet yang dibeli berdepan kelewatan.

Situasi itu seterusnya memaksa negara terbabit menyelenggara dan menaik taraf pesawat Hornet sedia-ada miliknya, sekali gus bermaksud Kuwait bercadang terus menggunakan pesawat Hornet miliknya selagi negara itu belum menerima pesawat pejuang Super Hornet yang dibelinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini