comscore
Tumpuan :
Nasional

Tujuh Ahli Parlimen Sabah dilantik Timbalan Menteri

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Seramai tujuh Ahli Parlimen dari Sabah dengan tiga daripadanya mewakili Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiga Ahli Parlimen BN Sabah itu ialah Datuk Siti Aminah Aching (UMNO – Beaufort) dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Mohamad Alamin (UMNO – Kimanis) sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Arthur Joseph Kurup (PBRS – Pensiangan) sebagai Timbalan Menteri Sains dan Teknologi.

Pakatan Harapan (PH) Sabah pula diwakili dua Ahli Parlimen, iaitu Chan Foong Hin dari DAP (Kota Kinabalu) dan Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud (PKR), masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Seorang wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal (WARISAN) dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Mereka adalah antara 26 timbalan menteri yang diumumkan Perdana Menteri pada sidang media khas malam ini.

Semua nama yang diumumkan akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, jam 3 petang esok.

Sebelum ini, dua wakil Sabah dilantik sebagai menteri penuh dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (PH – Penampang) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali (GRS – Papar).

Loading...
Terkini