comscore
Tumpuan :
Nasional

Tukang jahit rugi RM100,000, rumah musnah dalam kebakaran 

Tukang jahit warga emas, Mat Hussin Mohamad, 73 sayu melihat mesin jahit yang turut hangus dalam kebakaran rumahnya di Kampung Jelawat, Bachok. -Foto: NSTP

BACHOK: Seorang tukang jahit warga emas kerugian lebih RM100,000 selepas kediamannya hangus dalam kebakaran di Kampung Jelawat, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi itu, Mat Hussin Mohamad, 73 hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang bersama isteri, Zainab Abdul Rahman, 64.

Mat Hussin yang menjahit pakaian baju melayu dan baju batik berkata, turut hangus 15 helai kain milik pelanggannya yang sepatutnya dipakai untuk hari raya Aidiladha, dua minggu lagi.

“Ketika kejadian, kami sedang tidur sebelum terkejut dengar bunyi letupan dari arah belakang rumah.

“Bila periksa, letupan di salah satu motosikal saya, api pula sudah marak dan kami hanya fikir untuk selamatkan diri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jelawat di belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Jelawat, di sini, hari ini.

Mat Hussin berkata, selain kediaman musnah, dia turut kerugian dua buah motosikal dan lima buah mesin jahit yang menjadi punca rezeki sejak usia 19 tahun.

Katanya, dia bernasib baik kerana kesemua pelanggan memahami keadaannya dan mereka sudah mengetahui berkenaan kejadian menimpanya.

“Mujur pelanggan faham dan tak marah, kebanyakan pula adalah pelanggan tetap saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Bachok, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.22 pagi.

Katanya, seramai 14 anggota dan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT)  BBP Bachok dan Pasir Tumboh bersama Komander Operasi, PBK II Abdurashid Ab Rahman digerak ke lokasi kebakaran.

Kebakaran membabitkan kediaman berkeluasan 40×40 dengan peraturan kebakaran terbabit 50 peratus tanpa membabitkan kemalangan jiwa.

Kebakaran berjaya dikawal jam 5.39 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini