comscore
Tumpuan :
Nasional

Tukang kebun jumpa mortar

Kawasan belakang sebuah rumah di Kampung Tersusun dekat Serkam Darat, Jasin, lokasi bom mortar berkarat berukuran 60 milimeter ditemukan. (Dalam bulatan) Objek dipercayai bom mortar berkarat yang ditemukan.

JASIN: Sebutir bom mortar berkarat berukuran 60 milimeter ditemukan di belakang sebuah rumah di Kampung Tersusun dekat Serkam Darat, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, berkata bahan letupan jenis Unexploded Ordnance (UXO) itu ditemukan seorang tukang kebun, kira-kira 9 pagi tadi.

“UXO berkenaan ditemukan tukang kebun itu ketika mengemas rumah seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Jasin.

“Selepas dimaklumkan isterinya, anggota APM itu yang sedang bertugas balik ke rumah untuk membuat pengesahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota APM berkenaan kemudian membuat laporan di Balai Polis Merlimau, kira-kira 10.30 pagi.

Sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka kemudian ke lokasi pada 11.45 pagi.

Bahan letupan terbabit, katanya, diperiksa dan dibawa ke Pejabat Pensenjataan IPK Melaka untuk dimusnahkan.
– BERNAMA –

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini