comscore
Tumpuan :
Jenayah

Tukang kimpal dapat habuan RM50,000 sorok dadah dalam kaki meja

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua tukang kimpal sekali gus membongkar taktik sindiket menyembunyikan dadah bernilai hampir RM7 juta dalam kaki meja besi.

Dalam serbuan ke atas sebuah gudang besi di Kawasan Perindustrian Sri Muda, Shah Alam, Selangor kelmarin, polis turut merampas 200 bungkusan syabu seberat 208 kilogram (kg).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata serbuan pada jam 12.50 tengah hari itu hasil risikan selama sebulan bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Polis Kontinjen Selangor.

Menurut beliau, rampasan syabu bernilai RM6.9 juta ini adalah yang terbesar bagi tahun ini untuk kedua-dua kontinjen.

“Dalam serbuan ini, kita menahan dua lelaki tempatan berusia 42 dan 50 tahun yang berperanan sebagai tukang kimpal.

“Tugas mereka ialah untuk menyorokkan dadah-dadah yang dibungkus dalam bungkusan teh cina di dalam kaki meja besi berkenaan sebelum dikimpal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Allaudeen berkata, siasatan mendapati, kedua-dua suspek menerima upah RM50,000 setiap seorang dalam bentuk tunai untuk setiap urusan menyorok dan mengimpal.

“Pada serbuan ini, kita menemui 14 batang besi kaki meja dengan setiap kaki meja memuatkan lima bungkusan dadah.

“Kita turut merampas wang tunai RM10,700, wang tunai Thailand 10,600 baht (RM1,383), pelbagai barang kemas bernilai RM17,000, peralatan mengimpal yang digunakan untuk menyorokkan dadah serta sebuah kereta jenis Toyota Vios dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dadah diperolehi serta destinasi penghantaran bahan terlarang itu.

“Dadah dibawa ke gudang besi itu untuk disorokkan dalam batang besi berkenaan dan dua tukang kimpal itu perlu menyiapkan kerja mereka dalam tempoh dua hari.

“Selepas itu, dadah berkenaan akan dihantar ke tempat lain yang detinasinya masih kita belum dapat pastikan. Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati aktiviti sindiket dadah ini dikesan bergerak aktif sejak sebulan lalu dan pihaknya juga sedang mengesan dalang utama sindiket.

“Semakan mendapati kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, tiada rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif.

“Mereka kini direman tujuh hari hingga 26 Oktober ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Loading...
Terkini