comscore
Tumpuan :
Nasional

Tukar haluan secara tiba-tiba, dua lelaki maut motosikal dirempuh kereta

Keadaan kereta dan motosikal mangsa yang dinaiki dua lelaki yang maut dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan – Pelabuhan hala Kuantan dekat Depoh Alam Flora, pagi tadi. – Foto PDRM

KUANTAN: Gara-gara mengubah haluan secara mengejut, dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Pintasan Kuantan–Pelabuhan hala Kuantan di sini, kira-kira jam7.52 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Yusof Ibrahim, 58 dari Kampung Baru Sungai Miang, Pekan manakala seorang lagi mangsa Ismail Jaafar, 61, belum dikenal pasti alamatnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata siasatan awal mendapati kedua mangsa terbabit menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Gebeng ke Kuantan.

Mangsa dikatakan telah menukar haluan dari lorong kiri ke lorong kanan secara mengejut menyebabkan sebuah kereta dari lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, kedua mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaah parah di kepala. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,’ katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat.

Kereta jenis Nissan Almera berkenaan dipandu seorang wanita berusia 32 tahun.

Foto PDRM

Dia cuma mengalami sakit di bahagian dada.

Siasatan turut mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu manakala cukai jalan motosikal itu juga telah tamat tempoh kira-kira tiga tahun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini