comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Tular, anggota tentera bergaduh ketika perlawanan bola sepak


LUMUT: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kes pergaduhan dipercayai membabitkan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Stadium Pangkalan TLDM Lumut, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, dalam kejadian jam 7.15 malam itu, mangsa iaitu seorang anggota lelaki berusia 26 tahun cedera di bahagian muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala akibat dipukul beramai-ramai.

Menurutnya, mangsa diserang ketika sedang menyaksikan perlawanan bola sepak antara unit Markas Pangkalan TLDM Lumut (MKPL) dan Pasukan Khas Laut (PASKAL).

“Mangsa mendakwa, pihak penyokong PASKAL di dalam stadium memukul mangsa secara beramai-ramai kerana tidak berpuas hati.

“Dakwa mangsa, suspek menuduh dia menunjukkan isyarat jari tengah kepada mereka sedangkan mangsa tidak berbuat demikian.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka, rusuk kanan, leher kiri dan kepala serta sudah menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Nordin berkata, mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan polis pada jam 12.53 tengah hari, Selasa lalu.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan.

“Jika sabit kesalahan, suspek hendaklah dihukum dengan penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Nazari Yaakob di talian 017-5729646 bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.

Video pergaduhan berdurasi 17 saat terbabit turut tular di media sosial sejak Selasa, memaparkan sekumpulan lelaki dipercayai anggota TLDM tolak-menolak di luar pekarangan Stadium TLDM Lumut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini