comscore
Tumpuan :
Nasional

Tular Dakwaan Warga Bangladesh Diberi MyKad, JPN Lapor Polis

Dakwaan palsu yang tular di media sosial kononnya ramai warga Bangladesh diberikan MyKad menjelang pilihan raya. – Foto: FB JPN

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis, kelmarin, berhubung dakwaan palsu yang tular di media sosial dan WhatsApp kononnya ramai warga Bangladesh diberikan MyKad menjelang pilihan raya.

JPN dalam kenyataan, memaklumkan gambar sekeping MyKad yang turut dimuat naik menerusi dakwaan palsu mengatakan ia milik seorang warga Bangladesh juga tidak benar.

“Sebaliknya beliau adalah seorang warga negara Malaysia yang sah yang diambil sebagai anak angkat secara sah dari sudut undang-undang dan dibesarkan satu keluarga berbangsa Cina sejak lahir lagi.

“Isu ini sudah dilaporkan pihak media yang menjelaskan bahawa individu terbabit adalah warga negara Malaysia,” katanya hari ini.

Susulan itu, katanya, satu laporan polis dibuat JPN berkaitan perkara itu kerana tindakan terbabit bukan saja boleh menjatuhkan imej dan menjejaskan kredibiliti JPN, malah boleh mencetuskan kebimbangan awam.

“Laporan itu dibuat supaya polis boleh menjalankan siasatan terhadap mana-mana pihak didapati menyebarkan dakwaan palsu berkenaan,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai diingatkan sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi kerana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang didapati menyebarkan maklumat palsu.

JPN turut menegaskan MyKad hanya dikeluarkan kepada individu warga negara Malaysia yang layak berdasarkan peruntukan perundangan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-88807077 atau e-mel ke [email protected].

Loading...
Terkini