Tumpuan :
Nasional

Tunggakan gaji petugas media: Fahmi akan jumpa pengurusan 3 portal berita

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Persidangan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tiga portal berita susulan isu tunggakan gaji petugas media.

Beliau yang melahirkan rasa terkilan berhubung isu itu, berkata akan memantau perkara itu bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, bagi memastikan kebajikan dan hak pekerja termasuk wartawan terbela.

“Saya bagi peluang terakhir, saya tunggu sampai esok (hari ini) saya nak dengar apa kata Ketua Editor (portal terbabit) berkenaan dan saya akan susuli,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi, di Dewan Rakyat semalam.

Pada 2 Oktober lalu, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dalam kenyataan memaklumkan bersedia memainkan peranan sebagai perantara dalam isu tunggakan gaji petugas media di tiga portal berita terbabit.

Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, ia bagi memastikan hak wartawan yang terbabit dipertahankan dan segala tunggakan gaji dilunaskan dengan segera.

Fahmi berkata, mana-mana pengamal media yang mengalami kesukaran boleh mendapatkan bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA.

“Tabung Kasih@HAWANA bukan hanya pada Hari Wartawan Nasional tetapi ia boleh digunakan pada bila-bila masa untuk membantu wartawan yang menghadapi sebarang kesukaran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini