comscore
Tumpuan :
Nasional

Tunggu Menteri Kewangan II umum keputusan apung harga diesel – Anwar

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Tunggu pengumuman Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai keputusan sama ada harga diesel akan diapungkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tunggu pengumuman MKII (Menteri Kerwangan II),” katanya ringkas kepada pemberita pada Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan akan mengapungkan harga diesel susulan keputusan melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api itu.

Mengenai permintaan penggiat industri supaya kerajaan memperluaskan senarai penerima subsidi diesel, Anwar meminta perkara itu dirujuk kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengulas kebimbangan pengusaha restoran bahawa kenaikan kos pengangkutan akan ditanggung pengguna, Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah mengambil langkah yang secukupnya bagi menangani perkara itu.

Dalam Perutusan Negara yang disampaikan pada 21 Mei lalu, Anwar berkata, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Di samping itu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada perniagaan tertentu yang menggunakan kenderaan komersial diesel untuk mengurangkan potensi kesan kenaikan harga secara mendadak terhadap barangan dan perkhidmatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini